Bahasa Melayu menyerap banyak istilah daripada pelbagai bahasa seperti Sanskrit, Arab, Portugis, Belanda, Inggeris dan lain-lain. Justeru elemen-elemen dalam sistem ejaan baharu melibatkan dua kumpulan utama kata pinjaman dari segi ejaan iaitu kata asing yang belum terserap sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan kata asing yang pengucapan dan penulisannya sudah sepenuhnya terserap dalam bahasa Melayu
1. Kata asing yang belum lazim dalam bahasa Melayu
Ejaan asing yang belum diserap sepenuhnya dikekalkan dalam bentuk asal untuk mengekalkan sifat keantarabangsaan pengguna. Contohnya seperti perkataan ad hoc, bona fide dan protein. Lazimnya perkataan ini akan dicetak secara miring.
2. Kata asing yang lazim dalam bahasa Melayu
i. Penyesuaian dengan pengekalan atau perubahan abjad dalam perkataan bahasa Melayu.
Ejaan asing yang sudah diserap sepenuhnya dalam pengucapan dan penulisannya mengutamakan bentuk ejaannya melalui pengekalan abjad. Contohnya seperti perkataan yang bermula dengan ae seperti “aerial” yang tidak diikuti dengan huruf “e” akan tetap dengan “ae” dalam sistem ejaan Bahasa Melayu Baharu iaitu “aerial”.
Ejaan asing yang sudah diserap sepenuhnya juga mengalami perubahan abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu Baharu. Contohnya perkataan yang bermula dengan ae seperti “aesthetics” yang diikuti dengan huruf “e” akan bermula dengan huruf e iaitu “estetika”.
Contoh-contoh lain ejaan istilah baharu ini yang menurut kaedah penyesuaian ejaan yang ditetapkan seperti huruf c sebelum a, u, o akan menjadi k. Perkataan “carbon” menjadi “karbon”. Perkataan “curator” menjadi “kurator”. Perkataan “cobalt” menjadi “kobalt”.
Kaedah penyesuaian ejaan yang ditetapkan pada huruf c juga berubah apabila bertemu dengan huruf e, i, oe yang akan menjadi s. Perkataan “cent” menjadi “sen”. Perkataan “cybernetic” menjadi “sibernetik”. Perkataan “efficient” menjadi “efisien”.
ii. Penyesuaian dengan pengekalan atau perubahan abjad dalam ejaan imbuhan asing bahasa Melayu.
Terdapat pelbagai imbuhan asing yang diserap sebagai imbuhan bahasa Melayu. Contohnya dalam perkataan “inframerah” yang mempunyai awalan imbuhan asing “infra”, prasejarah yang mempunyai awalan imbuhan asing “pra”, semivokal yang mempunyai awalan imbuhan asing “semi”, dan superstruktur yang mempunyai awalan imbuhan asing “super”. Imbuhan (infra-) infra-, (semi-, demi-), semi- (demi-), (super-) super- masing-masing mengekalkan imbuhan asing yang asli manakala imbuhan (prae-, pre-) telah bertukar menjadi pra- dalam sistem ejaan bahasa Melayu baharu.
Contoh lain bagi imbuhan awalan asing ialah (hemi-) mengekalkan imbuhan Hemi- , (hepta-) mengekalkan imbuhan hepta- , (hetero-) mengekalkan imbuhan hetero , (hyper-) bertukar menjadi hiper- , (hypo-) bertukar menjadi hipo- , (homo-) mengekalkan imbuhan homo- . Contoh lain bagi imbuhan akhiran asing ialah (-me) – bertukar menjadi in, -ina , (-eur) bertukar menjadi -ur , (-ical) bertukar menjadi -is, -ik , (-ist) bertukar menjadi -is ,(-ism) bertukar menjadi –isme, dan (-sion) bertukar menjadi –si .
0 comments:
Post a Comment