CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

14 May 2013

Fungsi Sistem Otot

CONTOH JAWAPAN SOALAN SPOT

Terdapat banyak fungsi sistem otot yang berguna dalam sistem tubuh badan manusia. Antaranya ialah menghasilkan pergerakan. Semua pergerakan badan kita dihasilkan oleh penguncupan otot yang membolehkan kita berjalan, berenang dan mengangkat barang. Otot rangka misalnya membolehkan kita berupaya bertindak dengan pantas mengikut perubahan yang berlaku di sekeliling.

                Fungsi yang kedua ialah mengekalkan postur badan. Kombinasi saling tindakan otot-otot rangka yang berlainan membolehkan kita mengekalkan postur badan seperti berdiri dan duduk. Fungsi ini berlaku secara berterusan untuk mengekalkan kedudukan badan tersebut.

                Ketiga, fungsi otot juga untuk menstabilkan sendi. Semasa melakukan pergerakan, otot-otot rangka menstabilkan sendi terutamanya pada pergerakan yang melibatkan banyak sendi. Sebagai contoh, pergerakan di dalam sukan memanah.

                Seterusnya, otot boleh menghasilkan haba. Tenaga digunakan untuk penguncupan otot namun, sebahagian besar daripada tenaga ini tidak digunakan untuk tujuan tersebut sebalikny terbebas sebagai haba.

                Akhir sekali, fungsi otot ialah untuk melakukan ekspresi muka. Otot rangka membolehkan kita melakukan pelbagai ekspresi muka seperti tersenyum dan bermasam muka.

                Selain itu, otot juga merupakan salah satu tisu yang penting dalam sistem tubuh badan manusia. Terdapat tiga jenis otot dengan fungsi yang berbeza-beza, iaitu otot rangka, otot kardiak dan otot licin. Rajah di bawah menunjukkan struktur otot rangka.


Rajah 1.1: Struktur Otot Rangka

                Lokasi otot rangka ini terdapat pada seluruh tubuh badan manusia yang terlekat pada tulang dan kulit. Otot jenis ini berbentuk tunggal, panjang dan berjalur. Otot ini berkontraksi dengan dikawal oleh sistem saraf pusat. Kelajuan kontraksi otot ini bermula daripada perlahan ke pantas. Otot ini tidak mempunyai rentak kontraksi. Fungsi otot ini ialah membantu pergerakan dalam tubuh badan yang melibatkan proses penguncupan dan pemanjangan/ pengenduran.

                Jenis otot kedua pula ialah otot kardiak. Rajah di bawah menunjukkan struktur otot jenis ini.


Rajah 1.2: Struktur Otot Kardiak

                Lokasi otot kardiak ini ialah terdapat di dinding jantung. Bentuk otot jenis ini pula ialah berangkai dan berjalur. Kontraksi otot ini adalah di luar kawalan. Kelajuan kontraksinya pula ialah perlahan dan sekata. Otot ini mempunyai rentak kontraksi, iaitu dup, dup, lop, dup, dup, lop. Fungsi otot kardiak ini ialah membantu mengepam darah ke seluruh badan melalui salur darah.

                Jenis otot yang ketiga ialah otot licin. Rajah di bawah menunjukkan struktur otot jenis ini.

Rajah 1.3: Struktur Otot Licin

                Lokasi otot licin ini terdapat pada seluruh dinding organ lembut (visceral). Contohnya perut, pundi kencing dan salur darah. Bentuk otot ini ialah tunggal dan tidk berjalur. Kontraksi otot ini kadangkala dikawal dan kadangkala tidak dikawal. Kelajuan kontraksi otot ini pula adalah sangat perlahan. Otot ini kadangkala memiliki rentak kontraksi dan kadangkala tidak memiliki rentak kontraksi bergantung kepada lokasi. Fungsi otot ini pula ialah menggerakkan cecair atau bahan-bahan di dalam saluran-saluran yang terdapat dalam badan.

                Secara umumnya, terdapat empat ciri otot yang membantu otot untuk berfungsi. Jadual di bawah menunjukkan penerangan ciri-ciri otot secara terperinci.

1.       Kebolehujaan
kemampuan otot untuk menerima dan bertindak balas terhadap rangsangan yang diterima.
2.       Kebolehkuncupan
keupayaan otot untuk menguncup atau memendek apabila menerima rangsangan.
3.       Kebolehpanjangan
keupayaan otot untuk meregang atau memanjang apabila menerima rangsangan.
4.       Kebolehanjalan
keupayaan otot untuk kembali semula ke bentuk asal selepas meregang atau menguncup.

0 comments:

Post a Comment