04 October 2011
Menetapkan Niat dalam Setiap Tugas
Untuk melakukan setiap perkara dan tugas, perlu ada tujuan dan niat dalam diri sendiri. Perkara yang paling utama, tetapkan niat yang baik dan bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan berguna untuk keluarga, masyarakat dan paling penting untuk agama.
Seharian berada di bilik kuliah, adakah masa selama lapan jam itu digunakan sebaik-baiknya? atau sekadar memenuhi kerusi yang berada dalam dewan belajar sahaja? Berniatlah untuk tekun belajar, moga-moga masa yang diberikan seharian di IPG menjadikan diri sendiri berilmu untuk mencapai cita-cita dan menolong masyarakat dan negara kelak.
Apabila beriadah dan bersukan, niat juga perlu diperbetulkan. Jangan hanya bertujuan untuk melepaskan penat setelah seharian belajar, tetapi mengharapkan agar Allah mengurniakan tubuh badan yang sihat. Di samping itu diberikan kesihatan fikiran dan mental yang berpanjangan agar tugas kita di dunia dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan badan yang sihat, ibadah kepada Allah dapat ditunaikan dalam usaha melengkapkan keperluan di akhirat nanti.
Apabila ibu bapa menghantar anak mereka untuk mengaji dan kelas-kelas agama, ada satu harapan dalam diri mereka buat anak-anak. Semua ibu bapa mahu melihat ilmu dunia dan akhirat seimbang dalam diri cahaya mata mereka. Berniat untuk memperbanyakkan bidang ilmu pengetahuan merupakan salah satu ibadah.
Jangan pesongkan niat ke arah sesuatu yang buruk kerana itu bermakna seseorang telah tertipu oleh dirinya sendiri. Menurut Imam Al-Bukhari, terdapat dua nikmat yang membuatkan manusia tertipu iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang.
sumber; GenQ, isu 2
Label:
PPISMP: Semester 3

0 comments:
Post a Comment